CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Friday, June 12, 2009

Apa itu fasilitator

Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan
dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan,
bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan
banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator,
provokator dan pelbagai peranan lagi. Ini menjadikan seorang fasilitator itu, perlu
mempunyai ilmu pengetahuan yang amat luas dalam pelbagai bidang khususnya
kemahiran hidup. Fasilitator akan dipertanggungjawabkan kepada 3 perkara iaitu LDK,
objektif dan simulasi.

Persoalannya, siapa dan mengapa perlu menjadi fasilitator? Tentunya fasilitator
mempunyai peranan besar dalam menjalankan tanggungjawab ini.

Siapa yang perlu menjadi fasilitator?

Firman Allah dalam Al-Quran surah Ali-Imran ayat 110 bermaksud: "Kamu adalah umat
yang terbaik yang lahir dari kalangan insan. Mengajak kepada kebaikan dan mencegah
kemungkaran dan beriman kepada Allah". Tidak disebutkan disini sebarang bangsa atau
masyarakat yang akan memikul amanah ini. Mereka yang menjalankan 3
tanggungjawab tersebut adalah yang terbaik di sisi Allah. Adakah kita tidak mahu jadi
sebahagian darinya?

Mengapa saya perlu menjadi fasilitator?

Ada beberapa sebab utama mengapa kita perlu menjadi fasilitator yang benar-benar
menjadi kesan baik kepada orang lain iaitu;
Tanggungjawab dan amanah Khalifah
Tanggungjawab khalifah ini ialah memastikan keamanan dan ketenteraman wujud di
atas muka bumi ini. Sebagai khalifah, kita wajib memberikan terbaik agar kehidupan di
dunia ini adalah bekalan untuk ke akhirat. Tanggungjawab khalifah ada 2 yang utama
iaitu Hablum MinAllah (hubungan dengan Allah) dan Hablum Minannaas (hubungan
dengan manusia). Berhubung dengan Allah merupakan sifat kehambaan yang tertanam
di dalam sanubari kita sebagaimana firman Allah, "Tidak Aku ciptakan manusia dan jin
melainkan untuk menyembah Aku".
Berhubung dengan manusia pula, inilah amanah khalifah yang diberikan. Pertama ialah
kerana kita telah diwajibkan menjadi Da'ie. Da'ie berasal dari perkataan arab yang
membawa maksud menyeru. Firman Allah dalam Al-Quran dalam surah Al-Nahl yang
bermaksud; "Serulah semua manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmat dan
pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik".

Kedua ialah kerana kita perlu menjadi mahasiswa yang punya idealisme. Mempunyai
idealisme bermaksud memahami keperluan setempat, berusaha memenuhi disamping
mempunyai visi dan misi yang jelas terhadap hidup diri serta masyarakat kita. Kita perlu
tahu kenapa kita menjadi mahasiswa dan kita perlu tahu mengapa kita terlalu penting
untuk masyarakat. Mahasiswa yang tidak punya idealisme merupaka mahasiswa yang
mati rasa kepeduliannya terhadap masyarakat mereka.

Ketiga ialah kerana kita pelu mengukuhkan keseimbangan daya intelektual dan emosi
berdasarkan kepada keadaan semasa. Hari ini lahir terlalu ramai cerdik pandai tetapi
mereka tidak berupaya untuk melatih serta menyeimbangkan emosi mereka dengan
keadaan semasa. Kesannya, kerajaan telah berjaya melahirkan ramai teknokrat dari
bidang yang pelbagai. Mereka adalah individu mahir dengan pekerjaan masing-masing,
sejak diperingkat IPT telah disogokkan dalam pemikiran, belajar untuk mencari
pekerjaan. Dek kerana sibuk dengan tugasan sehinggakan mereka hidup secara
bersendirian atau individualistik.

Keempat ialah kerana kita memerlukan kekuatan rohani bagi mendepani isu-isu
pelbagai yang berkaitan dengan pegangan dan kepercayaan. Kita harus ingat bahawa
kehidupan kita dianugerahkan oleh Allah s.w.t. Kita memerlukan agama dan agama
tidak memerlukan kita. Kekuatan rohani inilah keupayaan yang mampu menghalang kita
dari melakukan perkara-perkara terlarang dan berdosa.

Kelima pula ialah kerana kita memerlukan daya kerja aktivis yang benar-benar ikhlas
untuk berbakti kepada agama bangsa dan negara. Aktivis sebegini tidak ramai kerana ia
kerja yang memenatkan dan tidak mendapat upah yang lumayan. Ingatlah kita kepada
hadis Nabi yang bermaksud; "Apabila mati seorang anak Adam, akan terputuslah dunia
daripadanya kecuali 3 iaitu doa anak yang soleh, sedekah amal jariah dan ilmu yang
bermanfaat".

Ingatkanlah, kita akan meninggalkan zuriat dan generasi baru akan datang. Jika mereka
tidak disediakan maka, siapa pula akan menyediakan mereka? Kalau bukan sekarang
bila lagi, kalau bukan kita siapa lagi. Jadilah generasi yang terbaik, sentiasa mengajak
kepada kebaikan dan cegahlah kemungkaran. Moga-moga, keimanan kita bertambah
dan percayalah bahawa Allah pasti bersama orang-orang yang benar.

0 comments: